Ar Rahim Terapi
Salur Darah Tersumbat Punca Sebenar Penyakit
ENCIK A, 33, adalah eksekutif sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Kehidupan yang sibuk memaksanya bergantung kepada makanan segera hampir setiap hari. Beliau jarang beriadah, selain menjadi perokok beberapa tahun kerana itu caranya meringankan tekanan kerja.
Beberapa bulan kebelakangan ini, beliau mengadu sakit dada. Sakitnya paling dirasai apabila berjalan jauh, naik tangga atau ketika stres.

Pada mulanya beliau tidak terfikir itu petanda sakit jantung kerana masih muda tetapi selepas mendengar banyak kes kematian di kalangan orang muda akibat penyakit jantung, beliau berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Senario ini menjadi ‘trend’ baru pada zaman ini. Lima puluh tahun dulu, jarang kita dengar kematian orang muda (di bawah 40 tahun) akibat penyakit jantung.
Namun fenomena ini menjadi lebih kerap kebelakangan ini. Persoalannya, apa sebab ia terjadi dan apakah jenis penyakit jantung yang menyerang golongan orang muda? Adakah ia berbeza dengan penyakit yang dialami orang tua?

Pada zaman ini penyakit pembunuh nombor satu di dunia, termasuk di Malaysia, adalah penyakit jantung koronari. Koronari adalah nama salur darah yang membekalkan darah kepada otot jantung supaya ia dapat mengepam darah ke seluruh badan.
Jantung adalah organ paling penting di dalam tubuh manusia kerana jika ia tidak berfungsi, semua bahagian badan lain juga akan mati kerana tidak mendapat bekalan makanan dan oksigen.
Kajian menunjukkan penyakit jantung koronari adalah penyebab utama penyakit jantung pada usia muda. Penyakit yang dulunya hanya dianggap dialami orang lebih berumur kini menular di kalangan orang lebih muda.
Penyakit jantung koronari menyebabkan salur darah koronari menjadi sempit dan akibatnya, ia tidak dapat membekalkan darah yang cukup kepada otot jantung. Otot jantung yang tidak menerima darah mencukupi (ischaemia) ini akan menyebabkan rasa sakit dada.
Biasanya sakit dada akibat keadaan ini adalah rasa seperti berat yang menekan dada di bahagian tengah atau kiri dan diiringi dengan berpeluh yang banyak, kesukaran bernafas dan rasa lenguh di tangan kiri. Kadangkala, sakit dada ini diiringi sakit leher yang rasanya seperti dicekik atau sakit di bahagian gigi.
Salur darah koronari ini menjadi sempit akibat pengumpulan sel dan plak lemak (atherosclerosis plaque) pada dinding salur darah.
Plak ini menjadi semakin tebal jika wujud faktor lain seperti darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi yang tidak dikawal. Akibatnya salur darah koronari menjadi lebih sempit dan tidak dapat membekalkan cukup darah kepada otot jantung.
Jika salur darah koronari tidak menjadi sempit secara total atau tersumbat 100 peratus, sakit dada biasanya datang apabila jantung dikehendaki bekerja keras seperti pada waktu bersenam, berjalan jauh, naik tangga atau dalam keadaan tekanan mental atau emosi (angina).
Namun jika salur darah koronari tersumbat 100 peratus secara tiba-tiba, ini menyebabkan serangan jantung atau ‘heart attack’. Keadaan ini sangat serius dan boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera.
Faktor yang meninggikan risiko penyakit jantung koronari yang boleh dicegah:
![]() |
Punca serangan jantung dan Stroke |
No comments:
Post a Comment